Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN
Keengganan Kelantan mewartakan tanah adat Orang Asal di negeri itu menimbulkan persoalan. Ini kerana berbanding negeri-negeri lain seperti Selangor yang agresif mewartakan tanah adat Orang Asal, Kelantan dilihat begitu 'liat' dalam urusan tersebut.
Kes pencerobohan tanah adat Orang Asal oleh syarikat pembalakan dan pertanian durian Musang King yang telah berlarutan begitu lama adalah berpunca akibat 'kedegilan' tersebut.
Ia bertukar ganas baru-baru ini apabila wujud insiden sekumpulan lelaki menyerang dan memusnahkan sekatan dibina Orang Asal di Kampung Kaleg, Pos Tohoi dekat Gua Musang.
Sekatan tersebut dibina penduduk setempat bagi menghalang kumpulan pekerja syarikat daripada memasuki dan memusnahkan tanah mereka untuk aktiviti pertanian.
Mengulas insiden tersebut, Presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Bob Manolan Mohamad berkata, sebenarnya Orang Asal telah menang kes tanah mereka di mahkamah sekitar dua ke tiga tahun lalu, namun tiada tindakan lanjut dibuat kerajaan negeri.
Jelasnya, tanah tersebut sememangnya hak milik Orang Asal Temiar kerana mereka menetap di situ sejak turun-temurun.
Namun apabila wujud permintaan durian Musang King, kerajaan negeri telah mengizinkan syarikat pertanian durian tersebut untuk menggunakan tanah milik Orang Asal di sana.
Tindakan tersebut membuatkan Orang Asal menaikkan sekatan (blockade) bagi mempertahankan tanah mereka daripada terus dicerobohi aktiviti pembalakan dan pertanian syarikat berkenaan.
Mahkamah iktiraf tanah
Bob mempertahankan kenyataan bahawa masyarakat Orang Asal Temiar telah membawa kes hak milik tanah di mahkamah pada tahun 2015 atau 2016 dan menang. Katanya, mahkamah telah mengiktiraf lebih 9,000 hektar tanah sebagai hak Orang Asal. Kerajaan negeri kalah kes tersebut.
"Tetapi peguam kerajaan negeri, Takiyuddin Hassan kata tidak ada tanah adat di Kelantan, walaupun dari segi perundangan memang mahkamah mengiktiraf bahawa tanah adat itu ada.
"Itu isunya. Takiyuddin ini walaupun dia peguam tetapi tidak faham keputusan mahkamah itu sebahagian daripada perundangan. Kerajaan negeri pula masih mahu buat rayuan untuk dapatkan tanah itu," katanya ketika dihubungi.
Mengikut lojik perundangan, kerajaan negeri sepatutnya akur dengan keputusan mahkamah dan terus mewartakan tanah tersebut. Namun, sehingga hari ini ia tidak berlaku sehingga menimbulkan masalah baru.
Jelas Bob lagi, tiada penyelesaian tuntas isu tersebut sejak 2013 walaupun pihak kerajaan telah mengadakan pelbagai perbincangan melibatkan pihak peguam, NGO dan lain-lain.
"Sudah terlalu lama isu ini diabaikan. Orang Asal bukanlah orang kaya, hanya tanah itulah harta mereka sebagai tempat mencari rezeki untuk hidup sebab mereka tidak bekerja makan gaji," jelasnya yang berkata syarikat pembalakan terbabit baru sahaja dilantik dan diberi kelulusan oleh kerajaan negeri.
Jelasnya, sebagai sebuah negeri yang melaungkan slogan Islamik, kerajaan Pas Kelantan seharusnya mengutamakan rakyat berbanding syarikat pembalak dan pengusaha durian.
"Kalau pun mereka nak majukan tanah seharusnya mereka berbincang atau pindahkan projek ke tempat lain. Kenapa mahu ganggu tanah tempat Orang Asal tinggal?"
Gondol hutan simpan
"Mereka letak papan tanda Hutan Simpan Kekal tapi habis semua digondol. Tanah yang kerajaan negeri wartakan sebagai tanah hutan kekal pun mereka langgar. Senang cerita, Pas ini cakap tidak serupa bikin," tambahnya.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang berusaha mewartakan tanah adat Orang Asal di seluruh negara bagi memastikan hak mereka terbela dan tidak dipinggirkan.
Menterinya, Rina Mohd Harun berkata pihaknya sudah menjalankan beberapa kajian dan pindaan undang-undang sedia ada supaya tanah adat terbabit dapat diwartakan segera.
"Kita akan adakan perbincangan dengan kerajaan negeri Kelantan dalam masa terdekat."
"Kita mahu mereka (kerajaan negeri) terima bahawa tanah adat Orang Asal boleh diwartakan, kita tidak mahu masyarakat terus ditindas," tegasnya.
Rina berkata, ia adalah amaran kepada kerajaan negeri itu untuk bertindak adil dan tidak memandang remeh isu terbabit.
Bob Manolan berpandangan langkah itu satu perkembangan positif dari kerajaan HARAPAN yang dilihat mampu memberi sinar kepada Orang Asal.
Untuk rekod, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata Kelantan kekal satu-satunya negeri yang masih belum mewartakan tanah rizab untuk Orang Asal.
Pengerusinya, Ajis Sitin berkata kerajaan negeri seolah-olah enggan mewartakan tanah rizab Orang Asal seluas 5,142.73 hektar di negeri tersebut.
*Disiar di Suara Keadilan 388


No comments:
Post a Comment