Tuesday, August 28, 2018
HARAPAN semarak budaya ilmu, bebaskan masyarakat dari kejahilan
Oleh HAIZIR OTHMAN
Sebagai kerajaan yang memartabatkan budaya ilmu, Pakatan Harapan (HARAPAN) punya banyak program pencerahan untuk meratakan kefahaman kepada rakyat terbanyak.
Kerajaan negeri Selangor sebagai contoh, mempunyai iltizam tinggi dengan hasrat ini, malah memperuntukkan dana yang besar untuk tujuan penyuburan budaya ilmu, antaranya melalui penubuhan dua badan penting, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
IBDE berperanan mengangkat hasrat kerajaan negeri menyubur budaya ilmu antaranya melalui aktiviti penterjemahan karya-karya penting berkaitan falsafah, politik, Islamik dan biografi tokoh-tokoh dunia.
Selain itu, badan itu turut menjalankan program seperti diskusi buku untuk menyebarkan idea dari kandungan buku tersebut kepada khalayak lebih besar untuk dibahas dan dipolemikkan.
Pada 20 Ogos lalu bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Menteri Besar Selangor, YAB Amiruddin Shaari merasmikan Siri Pencerahan Selangor, anjuran IBDE, melibatkan pelancaran buku Islam di Nusantara: Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat tulisan seorang profesor dari Universiti Utrecht, Martin van Bruinessen.
Amiruddin dalam ucapan perasmiannya menyebut pentingnya 'pencerahan' ilmu berlaku untuk mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kejahilan.
"Masalah besar dalam negara ialah apabila rakyat mula berhenti berfikir sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada orang lain atau institusi, sehingga penguasa cenderung rasuah."
"Sehingga tidak faham apa berlaku dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan semasa sahaja. Kerana itu pencerahan penting untuk menilai, memahami dan membuat keputusan," katanya.
Wujudkan badan pemikir
Memahami kepentingan budaya ilmu, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dalam wawancara dengan Malaysiakini menceritakan perancangan beliau mewujudkan badan pemikir di kawasannya, parlimen Indera Mahkota.
"Saya ingin adakan majlis perundingan Indera Mahkota, seperti sebuah parlimen mini. Sebuah pusat pemikir tempatan yang dinamakan Akademi Indera Mahkota (AKIM), untuk memenuhi hasrat menjadikan Indera Mahkota kota ilmu dan budaya."
Minat mendalam Ketua Setiausaha Pakatan Harapan itu terhadap budaya ilmu dapat diperhatikan melalui rekod bacaan peribadi beliau untuk menambah pengetahuan.
"Saya sempat membaca dua buah buku dalam masa 100 hari. Matlamat saya adalah untuk membaca tiga buah buku tetapi tidak berkesempatan."
"Saya harap saya dapat terus terlibat dengan perbincangan ilmiah. Sebab pada saya, itu adalah pembangunan peribadi."
"Kalau tidak, saya rasa susah buat kerja sebagai ahli parlimen dan menteri sekiranya kita masih di takuk yang lama," katanya.
Contohi Selangor, Pulau Pinang
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu golongan intelektual dan pemikir di negara ini berkongsi ilmu dalam bidang masing-masing untuk membentuk pemikiran masyarakat.
"Selepas PRU14, penting untuk kita sedar bahawa untuk membina Malaysia Baru bukan hanya dengan memenangi pilihan raya, malah menguasai ilmu dalam berdepan cabaran hari ini."
"Cendekiawan tidak harus dikaitkan dengan golongan akademik sahaja kerana ia juga merangkumi seniman, ulamak dan ahli antropologi," katanya dalam program pelancaran buku minggu lalu.
Menteri Pembangunan Wanita itu berhasrat kumpulan cendekiawan bersama-sama dan memimpin masyarakat dalam 'perang ideologi' dengan ilmu sebagai senjata.
Senada dengan Dr Wan Azizah adalah Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang mahu negeri-negeri lain mencontohi Selangor dan Pulau Pinang yang terkehadapan dalam membudayakan ilmu pengetahuan.
"Kita harap negeri-negeri lain juga menyemarakkan budaya ilmu kerana kita tak boleh benarkan fenomena kecetekan ilmu berterusan."
"Seperti di Pulau Pinang ada Penang Institute, kerajaan HARAPAN harus ambil peluang lahirkan masyarakat berilmu pengetahuan melalui penubuhan institusi dan individu-individu," jelasnya yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN.
*Disiarkan di Suara Keadilan 389
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment