Wednesday, August 01, 2018

Wanita di bawah lembayung HARAPAN


Oleh HAIZIR OTHMAN, FATIHAH RASHID


Pemartabatan hak wanita seperti diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu termaktub dalam Konvensyen Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Malaysia memberi komitmen kepada Konvensyen ini sejak 1995, namun sejauh mana hak-hak asasi wanita di negara ini terpelihara masih boleh diperhatikan.

Peralihan kuasa kepada kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) dari rejim lama Barisan Nasional (BN) pasca PRU-14 lalu membolehkan rakyat membuat perbandingan tahap layanan terhadap wanita antara dua parti terbesar negara.

Sebaik memegang tampuk kuasa, HARAPAN mencipta sejarah dengan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, wanita pertama memegang jawatan itu.

Bagi Ketua Srikandi KEADILAN Selangor Nurainie Haziqah Shafii, pelantikan Dr Wan Azizah dan menteri-menteri wanita lain menunjukkan HARAPAN memperkasakan wanita melalui langkah mengarusperdanakan gender (gender mainstreaming).

"Adalah penting memastikan wanita tidak lagi dikaitkan dengan urusan kewanitaan atau kekeluargaan semata-mata," kata Nurainie.


Dua langkah besar

Selain menjawat jawatan kedua tertinggi negara, Dr Wan Azizah yang juga dilantik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak mengambil masa lama menyerlahkan bakatnya apabila dalam tempoh kurang tiga bulan, telah melaksana sekurang-kurangnya dua langkah besar bersangkutan kebajikan wanita.

Pertama, caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk suri rumah sebanyak dua peratus dari gaji suami dan RM50 dari dana kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan membela para isteri yang berhempas-pulas di rumah mengurus keluarga.

Menurut beliau, inisiatif itu dilihat sebagai persediaan perlindungan masa hadapan bagi menyiapkan suri rumah menghadapi sebarang kemungkinan.

Peranan wanita khususnya suri rumah mungkin diakui sejak dulu namun langkah mewujudkan tabung simpanan berkenaan hanya mampu dilaksanakan kerajaan yang punya keinginan politik yang tinggi.

Kedua, langkah mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di pejabat-pejabat kerajaan bakal melegakan para ibu bekerja yang setiap hari berdepan kebimbangan akan keselamatan anak-anak yang ditinggalkan bersama-sama pengasuh, terutama selepas banyak kes kematian akhir-akhir ini.

Jelas Presiden KEADILAN itu, langkah itu akan memudahkan pekerja yang mempunyai anak kecil terutamanya staf yang bekerja mengikut syif.


Idea baru

Nurainie berpandangan dua langkah tersebut merupakan idea-idea baru HARAPAN yang punya iltizam tinggi meningkatkan taraf kehidupan wanita.

"Saya percaya banyak lagi idea akan diperkenalkan selepas ini. Kerajaan masih dalam tempoh kurang seratus hari. Dalam tempoh lima tahun, banyak yang boleh dibuat," kata pengamal undang-undang itu yang percaya kementerian-kementerian lain juga punya peranan memperkasa golongan wanita berdasarkan kapasiti masing-masing.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Rozana Zainal Abidin, HARAPAN telah meletakkan wanita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki.

Jelasnya, ia ditunjukkan melalui penglibatan golongan wanita dalam setiap lapis kepimpinan termasuk exco-exco di peringkat negeri.


"Penglibatan wanita akan dapat mewujudkan keseimbangan dalam satu-satu organisasi itu. Suara dan pandangan wanita amat penting sebagai semak imbang (check and balance)," kata beliau.

Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina Abdullah pula berkata kerajaan HARAPAN mempunyai kesungguhan dalam usaha untuk memperkasa wanita agar nasib setiap wanita terbela dan tidak dipinggirkan.


Representasi wanita

"Dengan adanya representasi wanita dalam jawatan pembuat keputusan bukan sahaja akan membantu mengetengahkan isu wanita tetapi juga isu-isu melibatkan keadilan sosial," kata Nurin.

Walaubagaimanapun, Ketua Wanita KEADILAN Kedah itu menyifatkan usaha yang dibuat oleh kerajaan HARAPAN pada masa ini masih boleh ditingkatkan selain memerlukan penelitian dan penambahbaikan untuk memperkasa wanita di negara ini ke tahap yang lebih baik.

Menurut Nurin, pembinaan kompleks sukan wanita pertama yang diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin merupakan kompleks sukan yang bersifat mesra wanita.

"Pembinaan stadium khusus untuk wanita adalah satu pembaharuan yang amat baik." 

"Wujud kepentingan untuk kita bina kerana wanita negara ini perlukan tempat riadah yang membolehkan mereka berasa bebas dan tidak terkongkong dengan pelbagai kekangan,” katanya.

Namun tambahnya, jika wujud isu kewangan, memadai jika stadium yang sedia ada diurus dengan mengambil kira keperluan wanita, misalnya menggilirkan penggunaan antara lelaki dengan wanita. 

Tambah beliau, perbezaan wanita di bawah HARAPAN kini dengan kerajaan lama Barisan Nasional adalah sangat ketara dari pelbagai aspek.

“Pada masa ini kita dapat lihat sekurang-kurangnya terdapat menteri wanita yang bukan sahaja memegang portfolio wanita tetapi juga di kementerian-kementerian lain yang penting," jelas Nurin.

Selainnya, kehadiran lebih ramai perwakilan wanita di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri selaku pembuat keputusan menunjukkan peranan wanita yang dilihat semakin signifikan dalam pembangunan negara. 


Satu pengiktirafan dan inspirasi - Nurin

Sementara itu, Nurin Aina melahirkan penghargaan kepada HARAPAN atas pengiktirafan kepada wanita melalui pelantikan lima orang menteri dan tiga timbalan menteri.

Lima menteri wanita adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat), Zuraida Kamaruddin (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Rina Harun (Pembangunan Luar Bandar), Yeo Bee Yin (Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim & Alam Sekitar), dan Teresa Kok (Industri Utama). 

Manakala tiga timbalan menteri adalah Fuziah Salleh (Jabatan Perdana Menteri - Agama), Hannah Yeoh (Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat), dan Teoh Nie Ching (Pelajaran).

"(Pelantikan ini) jadi inspirasi dan pengiktirafan kepada golongan wanita," kata Nurin.

Untuk rekod, bilangan sembilan wanita daripada keseluruhan 48 menteri dan timbalan menteri kerajaan HARAPAN mewakili 19 peratus perwakilan wanita dalam Kabinet Malaysia.

Peratusan ini lebih baik daripada senarai kabinet terakhir kerajaan lalu iaitu 15 peratus, diwakili 10 wanita daripada keseluruhan 67 orang menteri dan timbalan menteri.


*Disiar di Suara Keadilan 385

No comments: