Antara janji Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah menghapuskan undang-undang zalim.
Berhasil membentuk kerajaan persekutuan 9 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang diperkenalkan kerajaan lalu, Barisan Nasional (BN).
Dr Mahathir berkata Sosma membolehkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa perlu dibawa ke mahkamah, dan terdapat sesetengah suspek ditemui meninggal dunia ketika masih dalam tahanan.
Namun, tidak lama selepas pengumuman tersebut, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tampil mempertahankan undang-undang yang diperkenalkan bekas bosnya dalam kerajaan dan parti, Najib Razak, dengan menyatakan pemansuhan Sosma akan membuka lebih banyak ruang provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial.
Zahid berkata jika akta tersebut dimansuh, negara akan lebih terancam dengan meledaknya era 'free for all' internet dan media massa, serta perbuatan yang menjurus ke arah menggugat ketenteraman awam.
Kenyataan ketua pembangkang itu diselar Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin yang menyifatkan Sosma adalah contoh paling jelas undang-undang yang menggalakkan penghinaan manusia termasuklah penyeksaan mental dan fizikal.
Maria yang pernah dimangsakan Sosma mempersoalkan tujuan Zahid untuk terus mewajarkan akta tersebut. Bekas Pengerusi Bersih 3.0 itu meminta ahli parlimen Bagan Datuk itu memberi penjelasan kenapa beliau berasa patut untuk menafikan hak asasi seseorang manusia yang dijamin perlembagaan.
Dakwaan tak berasas
Menceritakan pengalamannya, Maria berkata semasa dalam tahanan, beliau dinafikan hak perbicaraan apabila pihak penyiasat tanpa sebarang bukti menyerangnya dengan dakwaan tak berasas bahawa beliau cuba merencana revolusi warna bertujuan menjatuhkan kerajaan."
"Walaupun berjanji Sosma tak akan digunakan sebagai alat politik, kerajaan lalu telah menggunakannya bukan untuk mengatasi keganasan tapi sebagai alat politik untuk mengekang perbezaan pendapat serupa seperti akta ISA," kata Maria.
Maria juga meminta kebajikan keluarga tahanan Sosma dipertimbangkan kerana para tahanan tidak dibenarkan menerima lawatan dari keluarga dan rakan-rakan.
Jelas Maria, terdapat kes-kes direkodkan di mana mereka yang ditahan dipaksa untuk membuat pengakuan bersalah.
"Gangguan emosi tidak berhenti setakat dinafikan perbicaraan terbuka, dinafikan akses kepada peguam, hak diikat jamin ditarik malah dilarang mendapat sebarang bantuan," katanya.
Bebas tahanan politik - Saari
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib yang pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) percaya pemansuhan Sosma akan mewujudkan karektor yang baik bagi kerajaan HARAPAN.
Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu sejak dulu konsisten membantah Sosma, selain Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (Poca) dan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).
Saari percaya di seluruh dunia, apabila sesebuah gerakan politik berorientasikan reformasi diberi mandat oleh rakyat menjadi kerajaan, perkara utama yang dilakukannya adalah membebaskan tahanan politik.
Beliau malah berharap Sosma dimansuh lebih awal agar individu-individu seperti Yazid Supaat dan Mustaza Rahman (kedua-duanya dituduh terlibat dengan pertubuhan pengganas) yang masih merengkok dalam penjara dapat segera bebas atau dibicarakan.
Dari sudut pandang seorang pengamal undang-undang, Syahredzan Johan melihat Sosma gagal berperanan mengimbangi keperluan menangani keganasan dengan hak-hak suspek dan tertuduh yang belum disabitkan dengan apa-apa kesalahan oleh mahkamah.
Katanya, antara peruntukan zalim dalam undang-undang itu adalah penahanan 28 hari suspek tanpa perlu perintah reman mahkamah.
"Dalam tempoh ini, suspek tidak diberikan akses kepada peguam, dan selalunya dikenakan tekanan untuk mengaku salah."
"Di samping itu, ia mempunyai peruntukan-peruntukan bertentangan dengan kaedah-kaedah pembuktian (rules of evidence) yang jadi tonggak sistem keadilan jenayah," katanya dalam satu kenyataan.
Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada pemimpin senior DAP, Lim Kit Siang menyarankan kerajaan mendapatkan maklum balas pihak-pihak berkepentingan seperti Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pertubuhan masyarakat madani dalam menggubal sebarang undang-undang berkaitan keganasan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamad Hanipa Maidin pula mencabar Zahid menyuarakan pandangannya melalui satu program debat terbuka. Timbalan menteri undang-undang itu menawarkan diri untuk berdepan dengan bekas timbalan perdana menteri itu bagi menjelaskan kewajaran kerajaan memansuhkan Sosma.
Hapus kekeliruan
Kata Hanipa, melalui kaedah itu juga orang ramai dapat difahamkan mengapa HARAPAN menarik balik pelaksanaan akta tersebut.
"Selain mendidik masyarakat, ia juga dapat menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan ketua pembangkang berhubung isu Sosma," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Sepang itu, HARAPAN konsisten menentang undang-undang yang dilihat zalim seperti Sosma dan Akta Hasutan ketika menjadi pembangkang, dan komitmen itu diteruskan setelah menjadi kerajaan.
Jelasnya yang juga seorang peguam, pengalaman mengendalikan kes Sosma dan akta-akta zalim lain seperti ISA membuatkannya tahu apa yang dirasai mangsa dan keluarga mereka. Malah katanya, beberapa orang menteri hari ini juga pernah jadi mangsa akta zalim kerajaan lalu.


No comments:
Post a Comment