Wednesday, August 01, 2018

Elektrik: BN gagal bangun Sabah


Sementara itu, isu bekalan elektrik yang turut berlaku di satu lagi negeri Malaysia Timur, iaitu Sabah mendapat perhatian menteri.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin yang memulakan tugasnya awal bulan ini menyuarakan iltizam kerajaan untuk mengatasi isu tenaga ini yang begitu kritikal di sana.

Bercakap di Dewan Rakyat, ahli parlimen Bakri itu membentangkan situasi bekalan tenaga elektrik di Sabah yang menurutnya sangat memerlukan perhatian.

Menjawab soalan bagaimana mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) di Sabah setinggi 241 minit berbanding di Semenanjung Malaysia hanya 50 minit, jurutera kelulusan Universiti Cambridge itu membentangkan perancangannya untuk merendahkan bacaan tersebut sebanyak 32 peratus kepada 100 minit menjelang tahun 2020.

Menurutnya ia dapat dilakukan dengan menyeimbangkan sistem bekalan elektrik antara kawasan pantai barat dengan pantai timur Sabah yang mempunyai rantaian grid elektrik yang lemah.

Yeo turut mengumumkan rancangan enam buah projek bernilai RM840 juta untuk menyalurkan bekalan elektrik dari 200 hingga 400 megawatt ke negeri Sabah yang dijangka selesai pada hujung tahun 2021 atau awal 2022.

Yeo juga melempar kritikan kepada kerajaan lalu BN yang gagal merancang pembangunan di negeri-negeri Sabah dan Sarawak, walhal bekalan elektrik merupakan keperluan asas untuk rakyat yang perlu dipenuhi kerajaan.

Pakatan Harapan khususnya melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP) sejak tahun 2013 lagi telah menjalankan inisiatif membantu rakyat Malaysia Timur melalui projek dinamakan Impian Sabah, dan Impian Sarawak. 

Walaupun pada ketika belum bergelar kerajaan persekutuan (malah sehingga sekarang belum bergelar kerajaan negeri di Sarawak), DAP telah merintis jalan membangunkan kawasan-kawasan terpencil di dua negeri tersebut dengan projek-projek berskala kecil seperti membina jalan, menyalurkan bekalan air, tuisyen percuma dan lain-lain.

Kini selepas menjadi kerajaan Persekutuan, pastinya inisiatif di dua buah negeri ini akan diperhebat, terutamanya untuk membawa 'sinar' kepada rakyat melalui bekalan elektrik.


*Disiarkan di Suara Keadilan 385

No comments: