Wednesday, August 08, 2018

Setelah 50 tahun, MARA perlu lonjakan baru


Sejak penubuhannya pada 1966, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berperanan membantu meningkatkan taraf ekonomi kaum Melayu-Bumiputera melalui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Mempunyai 13 pusat operasi (termasuklah Kolej MARA, Giatmara, Maktab Rendah Sains Mara dan lain-lain), MARA mendapat peruntukan besar dari kerajaan setiap kali pembentangan belanjawan demi perjalanan operasinya.

Setelah lebih 50 tahun, adalah wajar MARA dilihat semula secara retrospektif untuk mengembangkan potensi dan menyebarkan manfaat lebih besar kepada golongan sasar. Ini dilihat penting terutamanya selepas MARA dilihat sesetengah pihak sebagai 'lubuk emas' bagi meraih keuntungan peribadi.

Minggu lalu AMANAH Negeri Perak menggesa projek Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tapah disiasat susulan dakwaan syarikat pemegang konsesinya milik seorang ahli parlimen Umno Perak, diragui berstatus 'Ali Baba'. Setiausaha AMANAH Perak, Salman Salleh mendakwa kos pembinaannya bernilai RM 285 juta selain kos penyelenggaraan RM 57 juta setahun selama 23 tahun.

Malah, pada tahun 2015 MARA disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pembelian apartment lima tingkat, Dudley House di Australia bernilai A$22.5 juta (RM67.69 juta) oleh syarikat subsidiarinya, MARA Incorporated Sdn Bhd, di mana MARA didakwa membayar lebih sebanyak A$4.75 juta.

Pendedahan salah guna kuasa terhadap agensi ini bahkan telah banyak didedahkan pemimpin HARAPAN antaranya Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli seperti kes penajaan pasukan bolasepak Kelantan, pembatalan biasiswa ke UK dan Ireland, isu pembiayaan pendidikan pelajar UniKL, penglibatan pemimpin Umno dalam kes Dudley House dan lain-lain lagi.

Ahli Parlimen Sungai Petani Dato' Johari Abdul dalam ucapan menjunjung kasih titah sultan di Dewan Rakyat baru-baru ini mengakui kejayaan MARA selama ini, namun kesal ia disalahguna pemimpin tidak amanah.

"Banyak agensi berjaya tapi hancur disebabkan tamak haloba beberapa kerat manusia menyalah guna kuasa. Bukan kehancuran fizikal dan kewangan sahaja, lebih parah kehancuran imej institusi-institusi ini," kata bekas pengarah Biro Tata Negara (BTN) itu.

Pemangku Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Mohammad Sahar Mat Din pula beranggapan tiada masalah jika agensi-agensi MARA diagihkan kepada tiga atau lebih kementerian berbeza. 

"Jika cadangan ini benar, ia sesuai kerana kementerian-kementerian tersebut ada portfolio sendiri yang menjalankan peranan serupa dengan agensi MARA," katanya kepada Suara Keadilan.

Menurutnya, saiz organisasi MARA begitu besar seperti satu kementerian tersendiri dan pengerusinya menjaga terlalu banyak operasi.

"Contohnya, unit pembangunan usahawan MARA ada di setiap daerah dan kadangkala tidak berperanan. Jika ia diserap ke Kementerian Pembangunan Usahawan, tugas tersebut akan lebih terfokus. Ini juga dapat kurangkan pertindihan tugas antara agensi-agensi kerajaan," jelas beliau.

Mohammad Sahar tidak menafikan peranan MARA dalam melaksanakan falsafah Dasar Ekonomi Baru (DEB), namun menjelaskan isu penyusunan masyarakat sepatutnya sudah lama selesai.

Berkaitan 'kegagalan' tersebut, beliau membangkitkan wujud salah guna hak keistimewaan Melayu dalam MARA lewat skandal-skandal sehingga hala tujunya dipertikai. Oleh itu, pembaharuan dicadang kerajaan adalah satu langkah wajar.

"Pembaharuan dari semasa ke semasa perlu dibuat, malah dituntut agama. Perlu keberanian. Penstrukturan MARA itu bagus asalkan ia terus melindungi hak orang Melayu. Pengurusan tiada masalah, ia cuma (perbezaan) cara mengurus saja," katanya.

Beliau turut melahirkan harapan menteri-menteri yang bakal menjaga agensi-agensi MARA kelak mempunyai komitmen tinggi dan tidak mengulangi kesilapan pentadbiran lama.

Ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu, Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Azmin Ali mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan dasar memperkasa Bumiputera.

Ia memandangkan pemilikan ekuiti sektor korporat Bumiputera masih belum mencapai 30 peratus.

"Cadangan cara menjalankan perniagaan Bumiputera ditambah baik, diperkemaskan supaya lebih holistik dan tuntas agar penyertaan Bumiputera kekal signifikan dalam pembangunan ekonomi Bumiputera," katanya.


DPMM bantah MARA dipecah

Sementara itu, ura-ura MARA akan dipecahkan kepada tiga kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan, dan Kementerian Pendidikan mendapat bantahan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Melaka.

Yang DiPertuanya, Dr Abd Halim Husin dalam surat rasmi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak MARA kekal sebagai sebuah entiti, dan diletakkan di bawah sebuah kementerian diterajui orang Melayu sebagai menteri dan timbalan menteri.

Jelas beliau dalam surat yang dikongsi dengan Suara Keadilan itu, DPMM sedia mempertimbangkan usaha penambahbaikan bagi menjadikan MARA sebuah badan yang efektif.

"Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) contohnya perlu mengikut kurikulum Dasar Pendidikan Kebangsaan tapi boleh dijadikan aliran, latihan kepada anak-anak Melayu yang akan memperjuangkan survival ekonomi Melayu pada masa depan," jelasnya yang juga Naib Presiden DPMM peringkat pusat.

Beliau yang mewakili DPMM Melaka dianggotai usahawan-usahawan Melayu juga berkata 'menyokong kerajaan Pakatan Harapan selagi tidak berkompromi dengan kepentingan Melayu' selain berharap Dr Mahathir mempertahan MARA bagi kepentingan Melayu di Malaysia.

Terbaru, bantahan beliau turut disambut Pengerusi Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM, Datuk Dr Syed Ali Alattas yang mengibaratkan rombakan MARA seperti 'memotong kaki dan tangan' organisasi berkenaan.


*Disiar di Suara Keadilan 386

No comments: