Wednesday, August 08, 2018

MyBrain15: Mana pergi RM90 juta?


Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH RAHIM


Polemik sekitar penangguhan MyBrain15 dijadikan modal politik pembangkang menyerang kerajaan dengan andaian-andaian lemah, antaranya dari ketua pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata peruntukan RM90 juta untuk program itu telah pun diluluskan kerajaan lalu di parlimen lewat Belanjawan 2018.

Apa yang mungkin tidak diketahui Asyraf ialah peruntukan tersebut tidak sampai ke Kementerian Pendidikan, seperti yang didedahkan menterinya, Dr Maszlee Malek minggu lalu.

Lebih penting, Maszlee mengumumkan program biasiswa pascasiswazah ini tidak dibatalkan, sebaliknya hanya ditangguhkan buat sementara waktu. 

Ahli parlimen Simpang Renggam itu dalam kenyataannya menjelaskan, program berkenaan ditangguh kerana perlu menanggung bebanan hutang yang besar ditinggalkan kerajaan terdahulu. 

Mengulas hal itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menganggap penangguhan program biasiswa MyBrain15 yang diputuskan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebagai ada kewajarannya. 

Namun katanya, apa yang lebih penting adalah perlunya proses pengauditan dijalankan bagi menyiasat dakwaan peruntukan tidak sampai kerana melibatkan jumlah besar iaitu RM90 juta. 

"Buat masa ini jika kementerian beranggapan skim seperti MyBrain dihentikan dahulu, tidak ada masalah. Isu yang penting adalah keperluan audit untuk kenalpasti bagaimana dana tersebut disalurkan dan adakah benar ia tidak sampai ke kementerian. Jika benar, ke mana perginya dana yang cukup besar ini? 

"Sekiranya ada elemen-elemen jenayah, saya mohon Polis Di Raja Malaysia segera menjalankan siasatan dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan," kata Fahmi kepada Suara Keadilan. 

Ini kerana tegas beliau, dakwaan peruntukan yang tidak disalurkan sama ada di peringkat kementerian mahupun kumpulan sasar disifatkan kritikal di saat kerajaan menghadapi 'beban-beban' masalah hasil tampuk pentadbiran terdahulu. 

"Ia satu isu yang sangat kritikal pada masa Malaysia menghadapi isu hutang negara yang menggunung, dan pada masa kerajaan cuba menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari pentadbiran bobrok dahulu," tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN itu.

Maszlee berkata RM90 juta yang didakwa disalurkan hanya sekadar janji politik daripada kerajaan terdahulu, bahkan tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan pengajian penerima MyBrain.

Bajet 2018 yang dibentangkan Umno-BN di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2017 memperuntukkan RM90 juta menerusi program MyBrain15 untuk 10,600 penerima melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah lanjutan merangkumi MyMaster (sarjana) dan MyPHD. 

Mengulas isu sama, Ketua Biro Pendidikan KEADILAN Abas Awang yang turut menyokong keputusan penangguhan program itu berkata, ia sebahagian daripada proses pentadbiran yang normal. 

"Perubahan yang dilakukan adalah semakan balik dari segi peruntukan. Duit yang banyak tidak disalahgunakan. Sudah tentulah mengambil masa. 

"Semua tindakan sekarang ini menyemak semula dasar-dasar untuk memperbetul sesuatu perjalanan. Jadi memang layaklah ditangguhkan sementara peruntukan (MyBrain) ini sebab ada asasnya," ujarnya.

Bahkan beliau percaya, keputusan dibuat mengambil kira usaha berjimat cermat bagi menutup 'lompong' ketirisan pentadbiran terdahulu.

"Lompong terlalu besar jadi kerajaan terpaksa memikirkan cara-cara menutup. Usaha bagi menutup kebocoran itu mengambil masa nak tutup balik semula. 

"Berjimat. Segala yang bertindih perlu dibetulkan. Kalau ini betul, pembentangan Bajet 2019 nanti akan nampak. Aliran itu keluar masuk. Bajet 2019 saya percaya rakyat akan faham," katanya. 

Mengimbangi pendapat umum tentang penangguhan program ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjanji akan membawa isu ini untuk dibincang dengan lebih tuntas dalam mesyuarat jemaah menteri.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan biasiswa sebagai amat penting, juga pelaburan masa depan kerajaan untuk golongan muda.


Pelajar kena bayar dulu

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Jaringan Industri Unisel, Prof Madya Dr Raja Mohd Tariqi Raja Lope Ahmad mendedahkan penyaluran biasiswa MyBrain di Unisel lazimnya lambat sampai.

"Dana disalurkan terus ke universiti mengikut jumlah yuran masing-masing.

"Setahu saya selalunya lambat dana tersebut sampai. Sehingga ada kes-kes tertentu pelajar bayar dahulu dan tuntut kemudian. Proses tuntutan juga lambat," katanya kepada Suara Keadilan.  

Malah katanya, terdapat kes tuntutan pelajar yang mengambil masa sehingga enam bulan untuk diproses. 

Mengulas status program MyBrain15 yang ditangguhkan, beliau mencadangkan program itu diteruskan namun dengan pantauan lebih teliti. 

"Program ini elok diteruskan bagi menambahkan 'bank brain' di kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.  

"Namun, jika disambung kembali program ini semestinya pihak kementerian pantau dengan lebih teliti agar menjadi efisien. Proses pembayaran perlu cepat, proses tuntutan seperti penerbitan dan pembayaran awal cepat," katanya. 


Tiada lagi lantikan politik

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan tidak membuat lantikan politik bagi jawatan tertinggi di universiti seperti amalan kerajaan terdahulu.

Menjawab soalan Idris Jusoh (BN-Besut) di Dewan Rakyat, Teo berkata adalah perlu untuk mengeluarkan para lantikan politik BN bagi memberi kebebasan dan lebih autonomi kepada universiti.

"Pada zaman Barisan Nasional, memang ada lantikan politik dalam universiti tapi sekarang kita di era Malaysia baharu dan nak bawa pemimpin baharu dengan idea segar, jadi apa salahnya?

"Janji kita ialah tidak membuat lantikan politik," katanya.

Lima ketua universiti awam terlibat adalah Zaki Azmi (Universiti Malaysia Sabah), Sufri Mohd Zin (Universiti Tun Hussein Onn), Kamaruddin Hussin (Universiti Sultan Zainal Abidin), Noorul Ainur Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia) dan Anuwar Ali (Universiti Putra Malaysia).

Menurut Dr Maszlee, tindakan tersebut bagi memastikan proses reformasi institusi tidak terganggu.


*Disiar di Suara Keadilan 386


No comments: