Tuesday, August 28, 2018

Budayawan optimis janji Anwar martabat seni



Oleh HAIZIR OTHMAN

Pertemuan bakal Perdana Menteri, Saudara Anwar Ibrahim dengan para budayawan dua minggu lalu mencetus harapan baru kepada perkembangan seni dan budaya tanah air.

Ini kerana beliau mungkin dilihat satu-satunya tokoh politik nasional yang punya komitmen, juga wibawa, dalam mengangkat agenda budaya ke tempat yang sewajarnya seperti yang pernah dilakukan sewaktu beliau berada dalam kerajaan satu ketika dulu.

Pengenalan dan pengangkatan kosa-kosa kata baru seperti 'iltizam', 'wewenang', 'madani', 'waima', 'bobrok' dan sebagainya adalah antara jasa besar Anwar dalam memperluas penggunaan bahasa Melayu.

Lewat acara besar seperti pembentangan belanjawan negara,  majlis-majlis rasmi kerajaan malah melalui bahasa baku pembaca berita TV3, usaha Anwar merupakan lompatan saujana kepada bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Sasterawan Negara, Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan optimis pertemuan tersebut mampu membawa hasil positif berdasarkan rekod mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini malah menyifatkan 'kehilangan' seketika beliau dalam arena politik sebagai satu kerugian kepada perkembangan seni tanah air.

"Pertemuan budayawan dengan Saudara Anwar baru-baru ini saya anggap sebagai usaha menyemarakkan semula perkembangan seni tanah air, tetapi saya lihat ada cabaran."

"Sejak Saudara Anwar aktif dalam politik, beliau antara politikus yang paling ke hadapan dalam apresiasi, promosi dan aktiviti pelbagai cabang seni termasuk sastera."

Perkasa jati diri

"Dalam tempoh 'ketiadaannya' yang agak lama, seni bergerak tetapi kurang mempunyai hala tuju, dokongan serta perhatian serius daripada pimpinan atasan," katanya kepada Suara Keadilan.

Pada masa yang sama, penulis novel Naratif Ogonshoto itu berharap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mengkompromikan budaya kebangsaan dalam negara yang bermasyarakat majmuk ini.

SN Dr Anwar Ridhwan

"Kerajaan HARAPAN tampaknya mulai liberal dalam pelbagai bidang, saya khuatir jika asas budaya dan sastera kebangsaan dipersoal dan diliberalkan atas nama kesaksamaan. Budaya dan sastera kebangsaan adalah tiang jati diri bangsa."

"Saya harap kerajaan mengekal dan memperkasa tiang-tiang jati diri bangsa berasaskan budaya dan bahasa kebangsaan ketika turut meraikan kepelbagaian di negara ini," ujarnya lagi.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Datuk Dr. Awang Sariyan pula mahu inisiatif Anwar itu disambut pemimpin-pemimpin lain dalam HARAPAN agar berupaya jadi satu momentum dalam memartabatkan budaya bangsa.

"Kesediaan Saudara Anwar Ibrahim dalam perjuangan ini perlu disertai oleh semua pemimpin lain dalam HARAPAN."

"Bahasa, sastera dan budaya perlu disemarakkan sebagai penghalus budi dan peningkat tamadun negara supaya kemajuan ekonomi seimbang dengan nilai kemanusiaan dan kehalusan budi," tegasnya.

Sokongan kerajaan negeri

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut menyeru badan-badan bahasa, sastera dan budaya mengaktifkan kegiatan mereka, antaranya melalui Hadiah Bahasa PLM yang pernah dinaungi Saudara Anwar Ibrahim sebagai anugerah kepada ilmuwan pelbagai bidang yang menulis dalam bahasa Melayu Tinggi.

Bagi Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, beliau berharap kerajaan dapat menyuntik bantuan dan dana kepada agenda seni negara.

"Budaya dan seni seharusnya dijadikan agenda penting dan diberi peruntukan yang sewajarnya. Pembangunan material harus seiring dengan pembentukan jiwa melalui seni dan budaya."

Beliau yang turut hadir dalam pertemuan dengan Anwar tempoh hari membayangkan kemeriahan aktiviti seni seperti teater dan baca puisi selepas ini dengan sokongan pelbagai pihak termasuklah kerajaan negeri.

Annual Bakri Haron

Menurut budayawan, Annual Bakri Haron, perjuangan seni budaya kini harus menjurus kepada membuka ruang dan mengisi utopia .

"Penggemblengan budayawan boleh berlaku jika pimpinan jujur membawa agenda budaya ke tengah-tengah pentas kehidupan.

 Kata bekas setiausaha politik MB Kelantan TG Nik Aziz Nik Mat itu, semua peringkat kuasawan dan aktivis harus berstamina dan mempunyai 'cultural will' untuk mengusung tanggungjawab ini.

"Jika tidak, langkah ini akan dilihat sebagai satu lagi gimik politik kerajaan baru demi sokongan menggunakan instrumen seni dan budaya, sekadar distopia bikinan penguasa untuk proses konsolidasi," katanya.



*Disiarkan di Suara Keadilan 389

No comments: