Wednesday, August 08, 2018

Perkahwinan kanak-kanak: Kerajaan perlu tegas

 


Oleh HAIZIR OTHMAN, SYAZWANI SUFIAN


Penggubalan undang-undang yang menetapkan paras umur 18 tahun sebagai had umur minima perkahwinan perlu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bagi menjaga hak perlindungan ke atas kanak-kanak di negara ini.

Kerajaan harus memandang serius isu itu dengan mengambil tindakan dan keputusan tegas supaya dakwaan boleh dibuat atas salah laku membenarkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Peguam Penceraian dan Keluarga, Nurainie Haziqah Shafii berkata, perlindungan ke atas kanak-kanak harus menjadi prioriti utama dalam institusi kerajaan dan undang-undang agar hak mereka tidak dirampas atas nama agama dan kerelaan sendiri.

Katanya, kanak-kanak tidak boleh dibiar menjadi komoditi jual beli dalam masyarakat.

"Saya menggesa kerajaan mengambil serius hal ini dengan menggubal undang-undang menetapkan 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan selaras Iltizam Empat dalam Iltizam Khusus Untuk Wanita, Buku Harapan supaya perkara tersebut boleh dilaksanakan secara global tanpa mengira bangsa dan agama.

"Enakmen Undang-Undang Syariah Keluarga Islam juga jelas memperuntukkan umur minimum perkahwinan ialah 18 tahun," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau yang juga Ketua Srikandi KEADILAN Selangor turut menyokong cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk meminda peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 melibatkan had umur minimum perkahwinan bagi orang-orang Islam di negeri tersebut.

"Saya menyokong cadangan MAIS berhubung pindaan undang-undang di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita dari 16 kepada 18 tahun.

"Manakala di peringkat persekutuan, kerajaan perlu mengawal undang-undang supaya tidak ada alasan perkahwinan bawah umur dibenarkan, agar mereka boleh didakwa di mahkamah sebagai 'sexual grooming," katanya.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Latheefa Koya berkata, seharusnya tidak ada alasan kementerian menangguhkan dakwaan terhadap lelaki berumur 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun baru-baru ini. 

"Dalam kes itu, fakta yang diperolehi dengan jelas menunjukkan berlakunya gangguan seksual terhadap kanak-kanak tersebut apabila suspek sendiri mengakui bernafsu terhadap anak tersebut sejak berumur tujuh tahun dan berusaha untuk menikahinya, selain mereka juga telah bersekedudukan," katanya.

Pengamal undang-undang itu mahu Kementerian mengambil tanggungjawab dalam memikirkan cara menyelesaikan isu tersebut, bukannya meletakkan keputusan kepada Peguam Negara semata-mata.

Timbalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pula mengakui peruntukan undang-undang sedia ada perlu ditambah baik agar usaha kerajaan membendung gangguan seksual lebih berkesan. 

Katanya, hal itu kerana, peruntukan di bawah Kanun Keseksaan bersifat umum dan beban pembuktian dalam kes yang dirujuk memerlukan bukti yang melampaui munasabah.

Oleh demikian, Hannah berkata bagi menambah baik undang-undang sedia ada, kementerian kini sedang meneliti untuk mewujudkan satu akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual.

"Dalam merangka akta baharu, kementerian telah mengadakan sesi konsultasi dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) yang disertai beberapa badan bukan kerajaan bagi membincangkan kandungan untuk dimasukkan ke dalam akta tersebut.

"Kita juga akan melakukan kajian dengan mendapatkan maklum balas masyarakat, data serta kaedah pembuktian dalam kes-kes yang terlibat seterusnya membantu dalam merangka dasar dan strategi menangani isu gangguan seksual," jelasnya.


Letak syarat tambahan

Sementara itu, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menyarankan kerajaan mewujudkan satu pelan tindakan komprehensif dan holistik dalam mengehadkan perkahwinan kanak-kanak.

Tindakan perlu bersifat universal, kerana perkahwinan bawah umur bukan sahaja melibatkan masyarakat beragama Islam, malah  masyarakat bukan Islam.

Ketua Wanita Ikram, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim menegaskan kedudukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat boleh membantu memacu pelan ini merentasi sektor dan bidang kuasa pelbagai kementerian.

Beliau berpandangan kajian yang ada sudah mencukupi untuk pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu ini.

"Kita menyokong kerajaan menggubal undang-undang mengehadkan umur 18 tahun untuk berkahwin, tetapi kita mahu ia diperkasakan dengan meletakkan syarat tambahan, bagi kanak-kanak bawah 18 tahun yang ingin berkahwin perlu mendapat kelulusan mahkamah syariah.

"Ini penting supaya kita boleh akses kes tersebut dengan menyiasat sebab-sebab perkahwinan itu; perlu atau tidak diteruskan, menyoal-siasat bersediakah kanak-kanak itu berkahwin, peluang untuk dia meneruskan pelajaran atau mungkin kita boleh beri khidmat kaunseling dan sebagainya," katanya.

Beliau yakin gerak kerja bersepadu semua pihak, baik kerajaan, swasta, badan-badan bukan kerajaan dan ahli masyarakat mampu memberi jalan keluar terbaik kepada isu yang telah lama jadi polemik ini.

Artis popular tanah air, Sharifah Amani pula menzahirkan bantahan keras terhadap perkahwinan bawah umur dan menyokong penuh usaha kerajaan menggubal undang-undang bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Bagi saya, adalah haram sama sekali kanak-kanak bawah umur dikahwinkan. Manusia dewasa yang waras tidak akan membuat perkara jijik itu.

"Saya berharap kerajaan dapat memikirkan satu kaedah yang berkesan kerana pada usia muda seharusnya diutamakan pendidikan.

"Bukan masanya untuk mereka berkahwin, lebih-lebih lagi dengan lelaki yang jauh lebih berusia," tegasnya mengulas isu yang menggemparkan negara apabila seorang lelaki 41 tahun menikahi kanak-kanak 11 tahun untuk dijadikan isteri ketiga.


*Disiar di Suara Keadilan 386

No comments: