Wednesday, August 01, 2018

HARAPAN bela Melayu walau tanpa DEB


Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah kisah klasik yang masih lagi diceritakan walaupun hakikatnya ia sudah berakhir lebih 20 tahun lalu pada tahun 1990, digantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN).

Dilaksanakan pada tahun 1970 selepas peristiwa 13 Mei 1969, DEB berhasrat mengurangkan kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan rakyat, dan menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Hampir 30 tahun setelah DEB berakhir, isu pembahagian kek ekonomi masih belum selesai di mana orang Melayu-Bumiputera dilihat masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Tidak sedikit kisah kegagalan DEB diceritakan. Malah, ia pernah disinggung Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah beberapa kali, terbaru, tahun lalu apabila baginda menyifatkan pelaksanaan dasar itu "tergelincir dari landasan sebenar terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan."

"...berlaku ketirisan pegangan ekonomi Bumiputera secara besar-besaran, bukan sahaja mencetuskan salah faham kaum, kemarahan turut disuarakan dalam kalangan Bumiputera," titah baginda.


Campur tangan politik

Bagi Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid, DEB gagal dari segi pelaksanaan apabila wujud campur tangan politik, menyebabkan hanya segelintir orang Melayu mendapat manfaat darinya.

"Pencapaian untuk meningkatkan kelas menengah Melayu masih jauh dari sasaran, kebanyakan orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain," katanya seperti dipetik media.

Tidak sukar meneka siapakah yang mendapat manfaat besar dari campur tangan politik seperti disebut Azmi. Gejala rasuah, kroni, budaya Ali Baba antara penyakit yang dibiakkan akibat penyelewengan dan salah guna kuasa, dibuat atas nama bangsa seperti yang 'diperjuangkan' Umno dan Barisan Nasional.

Pengumuman Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 24 Julai lalu bahawa DEB akan dikaji semula menunjukkan kerajaan punya perancangan sendiri untuk menangani isu ekonomi negara.


Jelas Azmin, kajian tersebut untuk memastikan dasar itu memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia. 

Sebagai parti yang sudah lama berada dalam arus perdana politik negara, penyataan ini pastinya tidak dibuat semberono. Sebelum menguasai kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah punya pengalaman mentadbir dua negeri paling maju; Selangor dan Pulau Pinang. 

Selangor merupakan penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2016 dengan sumbangan 22.7 peratus dalam laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia September tahun lalu.

Manakala Pulau Pinang mencatat KDNK per kapita kedua tertinggi selepas Kuala Lumpur dengan nilai RM47,322 diikuti Selangor (RM44,616) untuk tahun yang sama.

Bukan satu kebetulan kedua-dua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari dua negeri tersebut, Azmin Ali dan Lim Guan Eng masing-masing dilantik menjadi Menteri Hal-Ehwal Ekonomi dan Menteri Kewangan atas pencapaian cemerlang memajukan negeri.

Berbekal pengalaman tersebut, kerajaan pusat sudah punya model-model yang boleh dicontohi. Contohnya di Selangor, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) berjaya memberi manfaat kepada rakyat terbanyak. Program pembiayaan mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) misalnya, berhasil memberi pinjaman kepada seramai 52,000 peserta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslim Md Akhi, sejumlah RM400 juta dibelanjakan dan yakin bilangan peserta akan meningkat sehingga mencapai sasaran 56,000 peserta bertepatan dengan hasrat kerajaan memperkasa peniaga kecil di Selangor.


Kontraktor Melayu bolot projek Pulau Pinang

Dalam pada itu, Pulau Pinang yang mencatat rekod pertumbuhan tertinggi KDNK, mengamalkan dasar menjaga kebajikan semua kaum seperti dijelaskan bekas Ketua Menterinya Lim Guan Eng yang kini Menteri Kewangan.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sewaktu beliau menggalas tanggungjawab Ketua Menteri, lebih 90 peratus projek kerajaan negeri dimenangi kontraktor Bumiputera. 

Antaranya, daripada 66 projek kerajaan negeri Pulau Pinang berkaitan kerja pemasangan paip oleh Perbadanan Bekalan Air (PBA), 44 daripadanya yang bernilai RM68 juta diberikan kepada kontraktor Melayu.


Hakikat ini membuktikan dua perkara; pertama, kontraktor bumiputera mempunyai daya saing yang baik, dan kedua, kerajaan negeri pimpinan DAP tidak mendiskriminasi orang Melayu di negeri itu.

Kedua-dua negeri ini masing-masing menunjukkan teladan yang baik bagaimana kerajaan pimpinan HARAPAN mampu membangunkan ekonomi tanpa bergantung sepenuhnya kepada dasar afirmatif seperti DEB dan MEB.

Justeru, kerisauan dan salah faham betapa kajian terhadap DEB dan MEB akan meminggirkan orang Melayu adalah tidak benar, bahkan dasar menjaga kepentingan orang Melayu akan terus dilaksanakan kerajaan seperti yang pernah disebut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya bulan lalu.


IPR Selangor manfaat semua

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatakuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha menyokong kenyataan Datuk Seri Azmin Ali untuk mengkaji semula DEB dan MEB.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya itu berkata dasar itu wajar dikaji semula kerana DEB masih belum mencapai matlamatnya iaitu pemilikan 30% ekuiti bumiputera.

Haniza menjelaskan bagaimana Selangor mampu melaksana program Insiatif Peduli Rakyat (IPR) tanpa mengabai orang Melayu.

"IPR Selangor sangat mudah syaratnya, tak tertumpu kepada satu kaum, jadi semua dapat manfaat tanpa diskriminasi," katanya.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN itu juga menafikan kajian semula DEB akan menghakis keistimewaan Melayu, sebaliknya ia bakal membaiki segala kelemahan dasar tersebut.


*Disiar di Suara Keadilan 385

No comments: