Satu perkara sering jadi momokan pembangkang tentang kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah kerajaan baharu ini terlalu liberal dan sekular. Sentimen ini kuat dimainkan sejak dulu dan semakin kuat akhir-akhir ini terutama sekitar isu pakaian pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang dibahas di Dewan Rakyat.
Hakikatnya, kerajaan sedang mengurus isu-isu ini dalam kapasiti seperti yang disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dr Mujahid Yusof Rawa iaitu Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk sekalian alam.
Buktinya, terbaru di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan mengurangkan bilangan hari cabutan khas untuk semua syarikat nombor ramalan bermula 2019.
Jelas ahli parlimen Bagan itu, langkah tersebut bermatlamat mengurangkan aktiviti perjudian yang sering menjurus kepada masalah sosial lain.
Menurut Lim, secara purata kerajaan mengutip RM20 juta cukai dosa setiap tahun sejak 1999. Walaupun pengurangan bilangan hari cabutan khas bakal memberi kesan kepada kutipan cukai negara, kerajaan tetap komited melaksanakannya demi manfaat yang lebih besar.
Menjawab soalan ahli parlimen Beluran, Dr Ronald Kiandee mengapa kerajaan tidak segera menguatkuasakan pengurangan jadual cabutan khas jika benar-benar berhasrat mengurangkan masalah sosial, Lim berkata kerajaan tidak mahu membuat sesuatu secara tergesa-gesa demi memberi masa semua pihak terlibat untuk bersedia.
Terdahulu, Dr Mujahid menjelaskan di Dewan Rakyat kepentingan menyeimbangkan antara penguatkuasaan undang-undang dengan pendidikan dalam membanteras judi.
“Saya kalau boleh (judi) Genting Highlands ke, ini semua tak ada. Sebab akan jadi masalah, selagi ada permintaan selagi itu ada tawaran,” kata ahli parlimen Parit Buntar itu ketika ucapan penggulungan titah Agong di Dewan Rakyat dan menjawab soalan ahli parlimen Segamat, Edmund Santhara.
Langkah Islamik
Beliau turut berkata judi ditentang semua agama, bukan agama Islam sahaja.
Mengulas isu ini, pendakwah bebas, Ustaz Wan Ji Wan Wan Hussin menyifatkan langkah kerajaan tersebut sebagai Islamik. Beliau yang juga Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Angkatan Muda Keadilan berkata ia meraikan fitrah manusia yang mahukan kebebasan.
"Tindakan tersebut bukan semata-mata Islamik, malah selaras dengan jiwa manusia yang tidak suka kepada penindasan sesama manusia," katanya kepada Suara Keadilan.
Ketua Wanita BIPPA KEADILAN, Ustazah Hazlina Razak pula mengalu-alukan pengumuman Menteri Kewangan itu.
"Semua agama melarang kegiatan perjudian. Mudaratnya lebih besar daripada manfaat.
Pengalaman di Darul Wardah menunjukkan aktiviti judi antara faktor keruntuhan rumahtangga," katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor.
Tambahnya, ketagihan judi menyebabkan ekonomi keluarga terjejas, sara hidup isteri dan belanja pendidikan anak-anak terabai.
Beliau yang sering berdepan kes-kes keruntuhan keluarga akibat judi berharap kerajaan HARAPAN dapat menghapuskan segala bentuk perjudian pada masa akan datang walaupun sukar.
*Disiar di Suara Keadilan 387
Langkah pertama hapus judi
Sementara itu, pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi, Ustaz Abdul Razak Aripin berkata langkah kerajaan mengurangkan bilangan hari cabutan khas itu bersifat waq'ie (praktikal) dengan konteks masyarakat hari ini yang secara umumnya menolak aktiviti judi.
"(Langkah itu) memang menuju ke arah maqasid syariah. Tepat atau tidak, bergantung kepada ijtihad, tapi ia sesuai (dilaksanakan)," katanya.
Maqasid syariah adalah tujuan pensyariatan dalam Islam bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menjelaskan tindakan tersebut bagus dari sudut nilai-nilai sejagat, dengan matlamat akhirnya adalah untuk menghapuskan terus aktiviti perjudian.
Tambahnya, sejak merdeka, ini mungkin kali pertama satu langkah signifikan mengurangkan aktiviti perjudian dibentangkan di parlimen oleh kerajaan.
"Satu perkembangan baik. Proses menghapuskan judi bermula dengan langkah-langkah kecil mengurangkannya terlebih dahulu. Kerajaan baru ini masih 'fragile' (rapuh). Sebarang perubahan perlu dibuat bertahap-tahap," katanya.


No comments:
Post a Comment