Wednesday, August 22, 2018

Universiti baru pertanian: perlu atau perkasa yang ada?


Jika kita masih ingat peristiwa demonstrasi besar-besaran petani di Baling pada tahun 1974, kita akan tahu kegagalan mengurus isu kaum tani bakal membawa akibat buruk.

Krisis harga getah dunia 1970-an menyaksikan harga getah jatuh sehingga 25 sen sekilogram jadi mimpi ngeri buat petani sehingga mendorong mereka turun ke jalan raya.

Pengalaman lalu harus membuat kita berhati-hati dalam menangani isu pertanian. Kepentingan menanganinya bukan sahaja berkisar kebajikan kaum petani, bahkan berkaitan simpanan stok (stockpile) makanan dan keselamatan makanan (food security).

Kesungguhan kerajaan melalui Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani mengangkat semula bidang pertanian melalui idea-idea segar sememangnya dialu-alukan. 

Bidang ini perlu lonjakan baru demi mengangkatnya ke kedudukan tinggi seperti pernah dikecapi pada tahun 1970 apabila menyumbang hampir 30 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Namun pada 2017, ia jatuh mendadak kepada 8.2 peratus sahaja.

Awal bulan lalu, Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub mencadangkan keperluan universiti yang menumpukan bidang pertanian bagi memenuhi keperluan sektor ini.

Katanya, ia melibatkan pertimbangan sama ada menubuhkan sebuah universiti pertanian atau mengembalikan fungsi Universiti Putra Malaysia (UPM) seperti awal penubuhannya yang berteraskan pertanian.


Perkukuh agensi sedia ada

Tanpa mempertikai hasrat mulia menteri memartabatkan bidang ini, idea menubuhkan universiti pertanian terutamanya perlu dilihat dengan berhati-hati.

Ini kerana ia bakal memakan belanja besar, senario yang tidak mampu dihadapi negara yang berdepan implikasi kewangan sukar ketika ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian UPM, Dr Muhammad Zafri Hassan berpandangan penubuhan universiti baru memerlukan kos tinggi terutama melibatkan penyelenggaraan dan pengambilan staf. 

Perlu difikirkan selepas itu adalah kebolehpasaran graduan kerana  pasaran kerja bidang pertanian tidak besar.

Beliau berpandangan agensi-agensi kerajaan dan infrastuktur yang ada sudah mencukupi, hanya perlu diperkemaskan berbanding membina universiti baru.

"Kementerian mempunyai segala sumber untuk memajukan pertanian. (Berbanding bina universiti), lebih baik perkasakan agensi yang ada. Tetapkan KPI (sistem petunjuk prestasi utama) setiap agensi di bawah kementerian. Setiap agensi perlu kemukakan pencapaian mereka," katanya.

Tambahnya, hampir semua tanaman di Malaysia punya agensi sendiri. Contohnya, nanas ada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB), kenaf ada Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara, getah ada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan sebagainya.

"Lembaga-lembaga ni ada peraturan mereka sendiri. Malah mereka boleh bagi bonus kepada staf. Berbeza dengan negara seperti Amerika Syarikat, tiada agensi khas kerajaan untuk setiap tanaman mereka," jelasnya.

Kata Dr Zafri, agensi-agensi ini sepatutnya menjalin hubungan dengan universiti seperti UPM untuk memanfaatkan hasil-hasil kajian saintifik mereka. Beliau memberi contoh walaupun kita ada Lembaga Nanas, tapi masih menggunakan klon import.


Idea lama?

Hakikatnya, idea mencari universiti fokus pertanian pernah dikemukakan satu masa dulu dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada awal penubuhannya disebut-sebut untuk membawa agenda itu.

Namun, realitinya kajian-kajian saintifik bidang pertanian tidak perlu dimonopoli satu atau dua universiti tertentu. Bidang ini sudah diliberalisasikan kepada hampir semua universiti awam di negara ini.

"Kajian dalam pertanian dah meresap dalam banyak institusi pengajian tinggi, bukan saja UPM. Universiti awam lain seperti UKM, USM, UNIMAS, UMS rancak tawar program pengajian dan buat penyelidikan berkaitan pertanian."

"Boleh semak dengan kementerian-kementerian yang tawarkan geran penyelidikan kepada universiti dan industri. Teliti outputnya dan manfaatkan hasil kajian tersebut," ulas Dr Zafri dalam komen di Facebook.

Beliau yang juga berpandangan tidak perlu meniru idea universiti pertanian yang dibuat negara seperti Thailand, gusar penubuhan universiti baru hanya untuk memenuhi keperluan 'orang tertentu'.

"Mungkin ada pihak tertentu yang lama 'tersangkut' di gred gaji lama tanpa kenaikan pangkat. Yalah, sektor awam, kena tunggu orang atas pencen baru boleh naik. Kami syak mereka ini yang mahu universiti baru," katanya.


Menteri perlu dengar pandangan petani 

Sementara itu, pengasas Malaysian Institute Sustainable Agriculture (MISA), Ahmad Kamal Ali berharap Menteri Pertanian dapat mendengar pandangan semua pihak terutama golongan petani di akar umbi dalam membuat sebarang keputusan.

Mengambil konsep 'pendemokrasian pertanian', Kamal berkata, menurut WHO, golongan petani kecil dan sederhanalah yang membekalkan makanan kepada dunia, sebanyak 70 peratus berbanding hanya 30 peratus disediakan syarikat pertanian gergasi.

Agak kecewa dengan agensi-agensi pertanian negara yang besar jumlahnya, beliau menyifatkan kajian-kajian mereka sebagai 'syok sendiri' kerana tidak sampai kepada golongan petani di lapangan.

Memandang ke depan, Kamal berharap kementerian pertanian dapat bekerjasama dengan kementerian lain seperti kementerian alam sekitar dan perubahan iklim termasuk universiti, NGO-NGO tempatan dan antarabangsa, juga profesor-petani seperti Dr Vandana Shiva dari India.

"Saya harap Menteri Pertanian lebih mesra rakyat, mesra petani, dengar pandangan semua pihak terutama petani kecil. Jangan sehingga akhirnya golongan korporat ambil-alih. Para penasihat dia pun perlu 'didemokrasikan' juga," katanya yang mahu kerajaan memajukan bidang agro ekologi sebagai langkah pertanian ke hadapan.

"Menteri perlu ada 'aerial view' (pandangan dari atas, sebagai pemimpin) dan 'street view' (pandangan di lapangan) untuk maju. Perlu ada kepelbagaian pandangan, atau dalam pertanian kita panggil biodiversiti," katanya.


*Disiar di Suara Keadilan 388

No comments: