Wednesday, August 08, 2018

'Gendang' gaji minimum



Penetapan gaji minimum merupakan salah satu janji Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum PRU-14 lalu. Ia terkandung dalam pengisytiharan Sepuluh Janji Seratus Hari berbunyi,

"Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum."

Komitmen kerajaan untuk melaksanakan janji ini terbukti melalui pengumuman Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran Sabtu lalu bahawa kerajaan akan memuktamadkan kadar permulaan gaji minimum sektor swasta selepas mesyuarat kabinet, Jumaat ini.

Jelas beliau, kerajaan juga akan menetapkan satu kadar yang seragam bagi gaji permulaan sektor swasta di seluruh Malaysia meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Gaji minimum jadi antara isu yang sering disalahfahami khalayak yang keliru antara usaha menyamaratakan gaji minimum kepada satu kadar tertentu, dengan menetapkannya terus kepada nilai RM1,500.

Kegagalan memahami usaha kerajaan di atas bakal menjerumuskan kita kepada sekurang-kurangnya dua persepsi negatif; pertama, HARAPAN tidak memenuhi janjinya dan kedua, langkah ini bakal membawa masalah kepada majikan yang tidak mampu menyahut seruan ini, contohnya pengusaha taska dan penggiat industri kecil dan sederhana (IKS).

Hakikatnya, pada ketika ini (dalam tempoh seratus hari) kerajaan sedang berusaha memberi keadilan kepada golongan pekerja di Sabah dan Sarawak terlebih dahulu dengan menyamaratakan kadar gaji minimum mereka dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia, seperti diumum Kulasegaran.


Kadar tak sama

"Keutamaan kerajaan ketika ini adalah menyeragamkan kadar gaji minimum antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dan dalam tempoh seratus hari ini kita mahu laksanakan perkara itu," kata Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Untuk rekod, kadar gaji minimum di Semenanjung adalah RM1,000 manakala di Sabah dan Sarawak adalah RM 920 seperti ditetapkan pada tahun 2016.

Manakala usaha menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 jelas Kulasegaran, akan berjalan dalam tempoh lima tahun dengan semakan setiap dua tahun, dengan pertimbangan undang-undang diambil kira.

Penjelasan tersebut kira-kira menjawab kebimbangan sesetengah pihak terutamanya majikan yang gusar tidak mampu membayar setinggi itu kepada para pekerja mereka ketimbang saiz perniagaan mereka yang kecil.

Tambahan, peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 tersebut adalah berdasarkan pendekatan perkongsian antara kerajaan dengan majikan, di mana satu sistem bayar bersama secara sama rata akan dijalankan untuk menampung kos kenaikan gaji minimum ini.

Pendekatan ini juga mencadangkan kadar gaji minimum semasa tidak perlu dinaikkan terus kepada RM1,500 melainkan bertahap-tahap dalam tempoh lima tahun dengan kenaikan pertama pada 2019.


Utama pekerja tempatan

Menyambut baik usaha ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap ia akan dapat memberi manfaat kepada pekerja tempatan dalam industri.

"Ia merangkumi beberapa aspek iaitu gaji minimum perlu dilaksanakan hanya kepada pekerja tempatan, selain kadar gaji perlu efektif dan selari dengan tanggungjawab kerja," jelas presidennya Datuk Abdul Halim Mansor seperti dipetik media.

Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid pula yang menyokong usaha ini menganggarkan bilangan pekerja yang bakal terlibat dengan pelaksanaan gaji minimum ini tidak tinggi. Oleh itu, katanya, cadangan kerajaan ini tidak akan terjejas.

"Pekerja yang purata gaji pada aras RM1,500 ini tidak banyak.

"Tidak semua berkisar mengenai gaji minimum, lebih kurang 12 sehingga 18 peratus sahaja pekerja yang gaji mereka bawah RM1,000," kata Abdullah Sani Abdul Hamid kepada Suara Keadilan.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga menyuarakan keyakinannya akan kemampuan kerajaan HARAPAN untuk melaksanakan dasar gaji minimum tersebut seperti yang telah dijanjikan.


*Disiar di Suara Keadilan 386

No comments: